Sunday, November 13, 2011

2 Dalam 1

Kali ni aku nak tulis mengenai dua perkara: perkara yang telah aku lakukan pada hujung minggu ini serta apa yang aku rasa mengenai kerja aku sekarang. Ah, sebelum itu aku nak mengingatkan kembali sebab aku menulis apa yang aku rasa di blog ini. Ini bukanlah sebab utama aku adakan blog ini. Tidak sama sekali. Blog ini aku mulakan pada penghujung tahun 2010, ketika aku mengganggur, tinggal, makan serta menggunakan segala kemudahan termasuklah kenderaan ibu bapa aku. Pada waktu itu aku mempunyai banyak waktu senggang dan aku isi dengan aktiviti antaranya ialah mengikuti perkembangan berita. Tidak semua, tetapi beberapa isu dan antaranya adalah wikileaks. Aku mula menulis untuk mengembangkan kebolehan; bukan bakat tetapi kebolehan aku mempersembahkan idea serta pandangan aku dalam bentuk penulisan yang tersusun. Selain daripada itu, ia sebagai satu sebab bagi aku untuk sentiasa mengikuti perkembangan isu-isu semasa dalam serta luar negara. Setelah beberapa ketika, ia bertukar kepada tempat aku meluahkan perasaan, terutamanya perasaan negatif aku terhadap pekerjaanku; keadaan tempat kerja, bos dan gaji menjadi antara beberapa topik utama yang aku luahkan. Aku luahkan di sini kerana aku tidak dapat menahan lagi perasaanku, jika ditahan-tahan lagi besar kemungkinan aku akan melepaskannya ditempat kerja dan aku tidak mampu untuk menanggung risiko jika aku melakukannya. Sebab kedua, aku tiada teman untuk aku luahkan perasaan ini. Jika ada sekali pun, berapa lama dia boleh menahan mendengar luahan-luahan perasaanku yang penuh dengan emosi negatif seperti marah, kecewa, tertekan dan kebosanan. Aku sendiri tidak sanggup untuk menadah telinga mendengar orang lain mengomel, terutamanya jika orang itu lelaki. Kemudian aku menjumpai satu artikel yang menyatakan kajian telah menunjukkan menulis lebih baik daripada meluahkan perasaan. Menulis dapat memberikan kelegaan yang lebih daripada berbicara mengenai sesuatu perkara yang melibatkan perasaan. Maka aku mula menaip, bukan menulis, tetapi bagi tujuan yang sama iaitu meluahkan perasaanku yang terpendam. Aku dapati ianya amat berkesan. Jika pada awal penulisan aku berasa amat marah, pada waktu aku selesai menulis aku berasa puas, sama rasanya seperti berjaya meluahkan perasaan tersebut dalam bentuk fizikal. Aku juga merasakan aku tidak merasa atau begitu ingat apa yang aku lalui dalam tempoh aku menaip blog sewaktu waku meluahkan perasaan. Daripada itu, aku merumuskan ini merupakan alternatif yang baik untuk aku meluahkan perasaan; aku dapat kelegaan daripada menahan perasaan yang membuak-buak; tiada kesan buruk atau perbelanjaan hanya sekadar yang diperlukan untuk mengakses internet bagi menulis; dan aku dapat mempraktikkan cubaan menukar perasaanku ke dalam bentuk ayat. Ah, dan tidak lupa aku tidak dibuang kerja kerana menulis di blog ini. Berbalik kepada tujuan asal posting minggu ini.

Aku telah mengambil cuti selama 2 hari daripada kerja pada hari Khamis serta Jumaat yang lalu untuk menghadiri majlis perkahwinan teman rapatku di Johor. Lebih tepat lagi, menghadiri majlis pernikahan serta walimatul urus sebelah pengantin perempuan. Tidak banyak yang aku lakukan untuk membantu rakanku itu. Aku hanya mengikutinya sahaja keluar untuk membuat beberapa persiapan kecil yang terakhir. Ah, aku juga tidak dapat menjadi pengapit kerana tidak membawa baju melayu bagi hal itu. Minta maaf, sahabat. Bagi pembelaan diriku, aku tidak tahu bagaimana kedua-dua majlis itu bakal berlangsung. Maaf, aku kurang arif tentang adat serta protokol perkahwinan bangsa Melayu. Aku amat berterima kasih kepadamu kerana membenarkan aku turut serta menjadi sebahagian daripada rombongan pengantin lelaki sewaktu majlis akad nikah. Rakanmu ini amatlah canggung apabila berada di antara orang-orang yang tidak rapat dengannya dan amatlah cetek pengetahuannya tentang budaya bangsanya sendiri. Minta maaf sekali lagi atas kekurangan diri ni sepanjang majlis berlangsung. Aku sempat berbual beberapa kali dengan rakanku ini sewaktu kami keluar ke pekan. Tetapi sehingga kini aku tidak faham bagaimana seseorang atau lebih tepat lagi dua orang boleh bersetuju untuk hidup bersama. Untukku, hanya dengan memikirkan idea menjadi suami orang sudah cukup untuk membuatkan aku kecut perut. Ah, sebab yang utama adalah kerana aku amat malas memikul tanggungjawab. Sebolehnya biarlah aku tangguhkan perkara-perkara yang sukar itu sehingga suatu masa di masa akan datang. Semoga pada ketika itu aku sudah mampu atau setidak-tidaknya sanggup untuk membawa bebanan tersebut. Majlis tersebut berlangsung dengan lancar dan Alhamdulillah dapat disempunakan. Hanya masalah kecil sahaja yang berlaku, itu pun hanya masalah kereta pengantin lelaki. Namum ia bukan masalah besar. Pagi sebelum majlis walimah ia telah dapat diselesaikan. Itu hanyalah masalah yang dapat aku lihat. Masalah-masalah lain yang mungkin timbul tetapi tidak aku lihat kerana kelemahan akal atau kurang daya pemerhatian mungkin ada; tahniah kepada kedua-dua mempelai. Ahad akan datang aku akan hadir pula ke majlis sebelah lelaki.

Bercakap mengenai memulakan keluarga(maaf, aku mengambil terjemahan terus daripada frasa: "starting a family" dan aku tidak mahu menggunakan "mendirikan rumah tangga" kerana aku merasakan ia amat klise), aku pernah memikirkannya; terutamanya sewaktu aku menyambung pelajaran ke peringkat ijazah selepas diploma. Pada waktu itu aku dilamun perasaan yang amat dengan seorang pelajar wanita di universiti yang sama. Tetapi perkara tersebut berubah di tahun akhir pengajian terutamanya pada semester akhir pengajian. Aku merubah pandangan terhadap beberapa perkara dan antaranya ialah perkahwinan. Aku kembali kepada pandangan asalku iaitu untuk melengah-lengahkan memikirkannya selama mungkin. Kini setelah lebih 3 tahun aku tamat pengajian, aku masih tidak mahu memikirkan apatah lagi merancang perkahwinanku. Ah, dengan gaji yang kecil, serba-serbi tiada; dan yang paling penting aku tidak mahu cara hidup aku sekarang berubah. Aku selesa dengan cara hidup sekarang. Aku boleh bekerja sehingga lewat malam, sambung kerja di rumah dan bangun lewat pada hujung minggu dan aku tidak perlu memikirkan aku perlu bertolak ansur dengan sesiapa dalam hidup aku. Jika aku berkahwin aku perlu memikirkan mengenai pasanganku: perasaannya, keadaan kesihatannya, kebahagiaannya. Orang yang mementingkan diri sendiri seperti aku ini tidak mampu untuk menanggung kos perasaan sebuah perkahwinan. Aku terfikir nasib baik juga aku ini tidak tampan dan canggung bersosial; sukar untuk mendapat teman membawa kepada ketiadaan teman membawa kepada ketidak perluan merancang perkahwinan. Ah, hahahaha! Tetapi disebalik semua ini sebenarnya aku juga memikirkannya kadang kala. Cuma aku menolak fikiran ke suatu sudut yang jauh dalam mindaku supaya ia tidak mengganggu dan supaya aku dapat menikmati waktu bujang yang aku kira bebas dan senang ini. Buat masa ini aku tidak mampu untuk melalui perkara-perkara yang sukar; psikologiku masih lagi terkesan dengan cita-cita bodohku di universiti: mengejar CGPA. Ah, bodoh sekali. Ia tidak membawa apa-apa makna melainkan memudahkan proses temuduga.

Bercakap mengenai cita-cita, aku terfikir dengan pekerjaan yang aku lakukan sekarang, aku terfikir apakah aku akan boleh mencari wang yang lebih banyak pada masa akan datang. Ya, aku tidak nafikan, aku sukakan kemewahan material. Aku gemarkan keselesaan yang dapat dibeli dengan wang. Aku suka menikmati hidup yang mewah. Aku tidak mempunyai kesukaan yang biasa bagi lelaki: sukan, gadjet elektronik, kereta, motorsikal, kuasa, permainan video; semua ini tidak menarik minatku. Apa yang aku suka adalah keselesaan hidup, pakaian yang aku aku gemari, kesihatan tubuh badan serta makanan yang boleh diterima. Maksud makanan ayng boleh diterima adalah makanan yang bersih dari awal proses penanaman atau penyembelihan jika inaya haiwan, segar, tidak diproses, serta disediakan dengan elok tanpa menggunakan bahan perasa. Untuk mendapatkan makanan sebegini pada zaman ini dalah begitu sukar dan memerlukan kos yang agak tinggi. Paling mudah adalah dengan masak sendiri namun, kos permulaan bagi membeli dapur gas, periuk belanga, belanja dapur serta masa untuk menyediakan makanan untuk seorang diri adalah lebih tinggi berbanding dengan keluar makan diluar. Aku tiada masalah makan diluar. Tetapi masalah makan diluar tidak dapat memenuhi kehendakku; masakan ala kadar, masakan menggunakan terlalu banyak bahan perasa, tiada kepelbagaian menu dan dapur yang kotor. Kadangkala aku merasakan aku makan hanya untuk meneruskan kehidupan sehingga waktu makan seterusnya. Aku tidak dapat khasiat makanan yang secukupnya(terutamanya sayuran) dan tidak dapat menikmati rasa makanan. Ah, aku akan cuba untuk pindah pada tahun hadapan ke apartmen sendiri agar aku dapat masak dan makan dengan puas. Puas, dapat memasak serta dapat menikmati makanan yang padaku boleh diterima.

Menyambung tentang hal wang, aku terfikir apakah aku harus terus bekerja dalam pembangunan aplikasi sama yang aku lakukan sekarang atau aku harus belajar perkara lain. Aku terfikir untuk mendapatkan kelayakan sebagai peguam secara separuh masa. Aku hendak menukar pekerjaan sebaik aku tamat kontrak dengan majikan sekarang. Aku tidak mahu terus dengan majikan sekarang kerana bagiku konsep kerja itu mudah: aku kerja, aku mahu dibayar setimpal dengan hasil kerjaku. Aku tidak mahu kenaikan pangkat kerana  aku tidak mahu lagi berada dalam organisasi ini. Setiap hari Isnin pagi, apabila aku tiba dibangunan tempat aku bekerja, aku melihat bangunan itu dan merasakan sedikit demi sedikit jiwa serta cita-citaku mati. Aku tidak sanggup bekerja keras hanya untuk mendapat upah yang tidak cukup untuk hidup selesa dan kenaikan gaji yang tidak sepadan dengan kos sara hidup. Aku suka sebahagian daripada kerjaku tetapi bagi mengekalkan kewarasan serta $$$, aku mahu keluar. Aku akan pastikan aku keluar. Aku akan lakukan apa yang aku mampu agar aku dapat keluar. Aku tidak mahu terus di sini mereput, hilang idealisme, semangat serta cita-citaku. AKU MAHU KELUAR!!!!! Aku akan bersabar, meletakkan idea itu sebagai bahan bakar sumber tenaga semangat untuk melakukan kerja dengan baik bagi mengelakkan aku menjadi tidak relevan dan tidak dapat keluar. AKU MESTI MAHU KELUAR!!!!!!!

Perkara kedua yang telah aku lakukan pada hujung minggu ini ialah menghabiskan buat kali kedua bacaan novel 1984. tu je. AHAHAHAHAAAA!!!! Sekian, terima kasih.

No comments: