Monday, November 21, 2011

Tahniah!!!

Sebelum ini aku dah menulis tentang rakanku yang baru sahaja berkahwin. Kali ini aku akan menulis sesuatu yang ada kena mengena dengan perkara itu tetapi bukan perkahwinan itu. Bukan sama sekali. Dikala ramai orang sedang bersemangat menyokong pasukan negara menentang pasukan jiran dalam acara bola sepak sempena temasya sukan rantau Asia Tenggara, aku akan menggunakan masa ini untuk menulis. Ada dua lagi perkara yang aku harap dapat dilakukan pada malam ini. Pertamanya bersenam; sementera menunggu perutku lega selepas makan malam jam kurang lebih 7.45 malam tadi, aku bercadang untuk menulis. Perkara kedua pula menyambung kerja yang telah aku bawa dari pejabat. Mujur ianya kerja berkaitan pengaturcaraan,bukannya dokumen. Pembukaanku kali ini jauh lebih pendek daripada biasa; mungkin ianya permulaan sesuatu yang baru atau hanya kebetulan kerana aku kekurangan idea dan emosi pada malam ini.

Semasa aku berada dalam perut LRT dalam perjalanan pulang dari pejabat, aku telah megimbau sedikit memori bersama rakanku yang baru sahaja megikat janji. Walaupun waktu perkenalan beberapa tahun yang lalu, tetapi dalam masa yang singkat pelbagai suka duka(kebanyakannya suka-suka dan gila-gila) telah kami rasa bersama. Apa yang lebih aku rasa ialah kehilangan. Kehilangan seorang rakan. Ah, bagiku kini dia sudah mempunyai tanggungjawab yang lebih besar, lebih tinggi prioriti serta mempunyai teman. Tambahan dia baru sahaja berkongsi hidup kurang dari dua minggu. Kurang seorang orang yang mendengar keluhan serta rakan berbual jarak jauh. Mungkin itu yang membuatkan aku berasa agak sedih; aku tidak mempunyai ramai kawan, tetapi pada satu-satu masa aku akan mempunyai beberapa rakan rapat yang menjadi tempat berkongsi suka duka serta pengalaman hidup. Rakan-rakan yang boleh aku menjadi diri sendiri tanpa perlu aku berpura-pura; tanpa perlu bercakap berlapik. Tetapi sudah menjadi lumrah kehidupan; memang kami masih boleh berhubung tetapi aku faham apabila seseorang itu telah menjadi ketua keluarga, keutamaan hidup akan berubah. Bukan dia sahaja, malah seorang lagi rakan rapatku akan berkaiwin pada tahun hadapan. Inilah kehidupan; kita melaluinya dan apabila sampai masanya perlu untuk mengambil langkah yang seterusnya. Tahniah sahabat, moga sentiasa dirahmati.


Kitaran itu kini bermula lagi. Aku berasa keseorangan tanpa kawan, cuba untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dalam masa yang sama mencari kawan rapat. Aku mempunyai rakan di sekolah menengah, ketika diploma dan ketika pengajian ijazah. Pertemuan serta persahabatan akan berakhir dengan perpisahan dan masing-masing meneruskan hidup masing-masing menurut jalan yang berbeza. Terlalu jauh, terlalu sibuk, bertukar prioriti serta fokus, lambat laun perkenalan yang terjalin akan mula terlerai kerana kesibukan masing-masing. Kebanyakannya kini sudak tidak aku hubungi lagi. Mungkin ini baik untukku; berada dalam keadaaan solidariti, bersendirian jauh di sudut hati walaupun disekeliling penuh dengan kawan. Aku tidak memerlukan ramai kawan, cukup sekadar beberapa orang yang betul-betul rapat. Aku jangkakan tidak lama lagi besar kemungkinan kami akan berhenti berhubung. Kalau ada pun sekadar bersapa atau bergurau. Tiada lagi sesi berbual panjang mengenai kehidupan; tiada lagi sesi luahan perasaan; tiada lagi waktu untuk semua itu. Nampaknya aku seorang yang banyak bergantung kepada orang lain secara emosi. Walaupun luaran aku agak tidak beremosi, tetapi aku amat suka mempunyai orang yang boleh aku kongsi pengalaman.

Aku tidak suka menjadi emosional. Aku telah berjaya belajar mengawal marahku ketika aku meyambung pelajaran di peringkat diploma. Ianya sukar serta mengambil waktu yang panjang.

Tiada lagi perasaan ingin menulis. Cukup sekadar aku mahu berkaraoke sabtu malam lepas tetapi tidak kesampaian kerana tertidur. Tadi aku berseorangan, karaoke tribute kepada rakan yang telah berdua. Tahniah kalian!

No comments: